Akhbar NST yang prokerajaan buat kritik mengejutkan
Oleh Darwis Said
DALAM satu ulasan di luar kebiasaan mengenai parti memerintah, dan Umno khususnya, akhbar New Straits Times (NST) semalam berkata rakyat Malaysia mulai ‘jemu’ dengan ‘rintihan’ dan ‘keluhan’ Umno, serta ‘wayang politik’ dan ’sandiwara’ yang dimainkan oleh ‘barisan pelakonnya’.
Tindakan itu mengejutkan para pengamat politik.
Akhbar prokerajaan itu, dalam lidah pengarang di muka depannya, juga menggesa para anggota Umno supaya menamatkan rasa ’sakit hati’ mereka secara peribadi dan hasrat mereka membalas dendam, dengan menumpukan perhatian mereka ke arah perkara lebih penting untuk memperbaiki Umno.
Sedang akhbar itu menekankan perlunya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi, diberi peluang membawa perubahan yang dijanjikan beliau di negara itu, ia turut mengkritik kelemahan Presiden Umno itu sambil berkata bahawa beliau kini sedang ‘menerima padahnya’ kerana gagal mengawal tindakan beberapa anggota kabinetnya dan memenuhi janji-janji perubahan yang dibuatnya sejak menjadi perdana menteri pada 2003.
‘Sebenarnya, rakyat telah lama meluat dengan kelakuan kasar dan biadab yang ditunjukkan para pemimpin Umno disebabkan kekuasanan yang dipegang mereka sejak kemerdekaan pada 1957,’ tegas akhbar itu.
Lima minggu telah berlalu sejak pilihan raya lalu dan Barisan Nasional (BN) telah pun berkuasa semula walaupun dengan satu majoriti mudah dan kehilangan lima negeri, kata NST.
Lidah pengarang itu berkata walaupun keputusan pilihan raya 8 Mac lalu itu amat mengejutkan tiada pihak yang boleh mempertikaikannya.
‘Tapi, apakah yang sedang dilakukan Umno, rakan utama parti campuran itu dan parti terbesar dalam parlimen, sejak 8 Mac? Pertengkaran, menuding jari, dendam kesumat dan bertindak dengan apa saja yang dapat dibayangkan, kecuali menggulung lengan bajunya dan terus menjalankan tugas pentadbiran.
‘Cukuplah. Rakyat semakin jemu dengan rintihan dan keluhan Umno, wayang politik dan sandiwara yang dimainkan barisan pelakonnya di negara ini,’ tegasnya.
Sambil memberi contoh beberapa insiden termasuk penghunusan keris oleh ketua Pemuda Umno, pencemaran kuil Hindu, anugerah penyapu di Selangor dan tindakan beberapa anggota Umno ‘menikam parti itu dari belakang’, NST berkata Abdullah kini terpaksa menerima padahnya dan ’setiap hari beliau terpaksa menangkis serangan anggota parti dan mantan pemimpinnya…. satu lagi hari ehwal negara diabaikan’.
Mengulas, Pengarah Pusat Kajian Dasar Malaysia, Cik Tricia Yeoh, berkata sukar ditentukan siapa yang mengarahkan pihak editorial akhbar itu berbuat demikian tetapi ia daripada ‘kem’ Abdullah yang mahu menghentikan pertikaian itu sebelum Perhimpunan Agung Umno Disember ini.
























[…] Akhbar NST yang prokerajaan buat kritik mengejutkan […]
Leave your response!