Selangor haramkan program Islam Hadhari
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari mulai semalam kerana tidak mahu konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dikembangkan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berkata selaras arahan itu, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program termasuk khutbah yang menyentuh dan ada hubung kait dengan Islam Hadhari.
Beliau memberi alasan konsep Islam Hadhari tidak diperlukan kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.
“Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor,” katanya pada sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga menafikan pemimpin PAS di negeri itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih pemerintahan negeri.
Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin PAS termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.
“Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisyen, 50 peratus komisyen atau memberi tender kepada kroni.
“Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa,” katanya.
Hassan mendakwa, pembinaan Jalan Sekinchan-Sabak Bernam adalah contoh pemberian tender secara runding terus yang diakui Jabatan Audit Negara sebagai projek yang dibina tanpa mematuhi peraturan Jabatan Kerja Raya.
Ketika ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) bangkit mencelah dan memberitahu kes itu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Projek ini ditentukan oleh JKR. Apa-apa tindakan pun mestilah kepada JKR. Bagi saya mudah saja, apa-apa cadangan yang dibuat ikut peraturan saya akan luluskan.
“Bagi kes Balkis, misalnya, jika ada salah guna kuasa atau wang sila buat laporan,” katanya.
Menyambung penggulungan, Hassan berkata, beliau juga sudah ‘masuk’ ke Lembaga Zakat Selangor (LSZ) untuk menyiasat salah guna kuasa dan rasuah dan hasilnya dua kakitangan LSZ ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Katanya, walaupun dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, kes itu masih disiasat dan beliau tidak boleh memberi ulasan sehingga siasatan selesai.
Hassan membuat dewan riuh apabila menggelarkan seorang bekas Exco BN sebagai ‘penyamun’ apabila turut membawa keluar karpet pejabat selepas beliau dilantik mengambil alih jawatan bekas Exco itu.
Beliau turut mendakwa bekas Exco BN itu tidak profesional kerana tidak hadir pada majlis penyerahan tugas. - BH
























Leave your response!